By: Nhazz Ayunee
Saat kejahilan menyelubungi, aku sendirian terdampar sepi. Tiada teman pendamping diri. Dalam kegelapan aku mencari. Mencari arah dan sinar cahaya agar dapat menerangi jalanku. Dalam kesepian aku mencari teman. Dalam kepayahan aku cuba menggapai awan.
Tatkala diri dalam kesempitan, ramai orang yang mengambil kesempatan. Ini menjadikan aku lebih tertekan. Akhirnya aku rebah. Tatkala mengahapi ujian bertimpa-timpa. Sungguh aku tak mampu menampung ujian itu seorang diri. Diatas sejadah aku rebah. Seorang diri di ruang yang sepi. Menangisi derita dimalam gelita.
Laksana sampan yang tiada kemudi, aku hanyut dibawa arus. Tiba-tiba aku dipukul ombak. Badai datang melanda hatiku saat aku masih tercari-cari kemudi yang hilang. Saat badai mula mereda, aku terdampar di tengah lautan.
Saat itu aku kaku. Kaku melihat luasnya lautan berbanding aku insan kerdil ini hanya seorang. Diatas langit itu bertaburan bintang-bintang. Sang rembulan memantulkan cahayanya. Berbekalkan cahaya itu kemudi sampanku berjaya kutemui.
Laksana itu diriku diumpamakan. Didatangi cahaya yang cerah menerangi jalanku. Tatkala aku datang menyerahkan diri, tiba-tiba aku didampingiNya. Tak Nampak dimata tapi dapat kurasa kewujudan dan kehadiranNya. Hadirnya Dia menemani aku, mendakap erat seluruh tubuhku. Hadirnya Dia menyeka air mataku. Sedu sedan esak tangisku, tatkala menyedari bahawa selama ini Dia sentiasa memerhatiku, memandangku, menyayangiku, dan merinduiku untuk berada diatas sejadahnya.
Bersinar ceria lembaran baruku. Sungguhpun hari-hari yang mendatang ini sarat dengan mehnahnya, namun aku sentiasa tenang. Setiap hariku menantikan Dia. Menanti untuk mengadu denganNya. Lima kali sehari aku bertemu denganNya. Namun rindu masih jua bertakhta untukNya. Dikala merindu aku menyebut kalamNya. Tatkala bertemu pasti aku berdakap denganNya. Dan dalam dakapan itu aku tenang dan lena.

No comments:
Post a Comment