Kelihatan ramai orang yang mengerumuni sesuatu diaras tiga tangga asrama. Fatihah berlari-lari anak menuju kearah kerumunan tersebut. Didalam benak fikirannya hanya terdapat satu nama yang benar-benar membuatkan hatinya tidak keruan. Jauh dari sudut hatinya berdoa semoga orang yang dikerumuni itu bukanlah orang yang singgah dikepalanya itu.
Sesampai sahaja ditempat kejadian, Fatihah menjerit sambil beristighfar. Ternyata benar, tubuh yang terbaring lemah itu adalah orang yang disangkakannya. Fatihah menangis hiba memanggil-manggil nama itu, namun tiada jawapan yang diterimanya. Hanya senyuman lesu yang sempat dilemparkan kepada Fatihah.
Saat itu, Fatihah tidak lagi dapat menahan takungan air matanya yang sejak tadi telah terempang di dalam kelopak matanya. Ketika dia dikantin, Raihan menyerahkan sepucuk surat yang dikirimkan untuknya. Pantas Fatihah meragut surat itu daripada Raihan dan terus membukanya sambil mengerling kearah sesusuk tubuh yang berlalu pergi dari kantin tersebut menuju ke blok asrama. Sekelip mata, kelibat itu pun hilang dan dengan pantas Fatihah menunpukan anak matanya pada setiap untaian kata yang tercoret pada warkah tersebut.
“ Assalamualaikum, sahabatku. Saat ini ketika awak membaca tulisan ini, mungkin saya sudah tiada disini.Pada hari itu, kita gaduh. Oleh sebab hal yang remeh saja. Tapi kerana nafsu amarah yang membuak-buak, dan rasa kecil hati yang merajai hati, awak tekad untuk tak mahu bercakap dengan saya lagi. Saya rasa sedih sangat. Saya cuba pegang tangan awak dan meminta maaf. Tapi awak tarik tangan awak dan berkata;
“ Eh, dah lah… saya tak nak dengar lah, Awak bukan kawan saya lagi”
Sebaik saja awak pergi, air mata saya terus mengalir tanpa henti.
Kelmarin, saya nampak awak. Awak gembira bersama teman lain. Sedangkan bila terserempak dengan saya, awak langsung tak pandang saya, apatah lagi nak senyum atau menyapa saya. Walhal kita duduk dibawah satu bumbung yang sama, di dalam satu bilik yang sama. Saya nak awak tahu, saya rasa gembira dapat tengok wajah awak walaupun awak tak pernah nak memandang kearah saya lagi.
Petang itu saya pergi beriadah, tapi saya hanya berjalan dan melihat awak berlari dari jauh. Saya merehatkan diri dan duduk dibawah rimbunan pohon. Saat itu,saya teringat, masa dulu, kita berdua sentiasa bersama. Makan bersama, belajar bersama, berjalan beiringan berdua. Setiap perkara yang berlaku, awak bercerita pada saya. Semuanya indah belaka. Saya nak awak tahu, sekarang ini, saya rasa rindu saat-saat kita bersama.
Beberapa malam semenjak kebelakangan ini, dada saya selalu rasa sakit. Saya cuba nak panggil awak, tapi tak berdaya. Beberapa kali, saya cuba nak beritahu awak sebelum ini. Saya nak sangat jumpa dengan awak dan bercakap dengan awak. Saya nak awak tahu, saya sayang sangat pada awak. Walaupun saya bukan lagi kawan awak, tapi awak tetap kawan saya sampai akhir hayat saya. Saya juga nak awak tahu setiap perkara yang berlaku pada saya.
Tiga bulan yang lalu, saya pengsan dirumah. Mak bawa saya berjumpa dengan doktor. Doktor kata, penyakit saya dah berada di tahap kritikal. Perlu pembedahan segera. Tapi saya tak mampu. Keluarga saya orang susah dan saya tak punya ayah. Tinggal mak seorang saja yang menyara keluarga saya. Namun awak tak pernah tahu. Kerana saya pun tak pernah nak beritahu.
Hari ini genap tiga bulan kita tidak bertegur sapa. Awak hanya membawa diri awak sendiri. Namun saya masih setia menanti. Andai kata awak sudah bersedia menerima saya semula. saya benar-benar mahu sangat bercakap dengan awak. Dan akhirnya saya memulakan bicara.
“ Awak, boleh tak saya nak jumpa awak lepas balik kelas nanti? Saya ada perkara nak beritahu awak. Penting”
Awak hanya diam dan tunduk membisu lalu pergi begitu saja.
Pada saat ini, saya sedang menantikan kehadiran awak. Saya benar-benar nak berjumpa dengan awak. Namun, saya tak dapat teruskan lagi. Saya terpaksa pergi dulu. Saya tak mahu awak cari saya kemudian hari. Saya nak beritahu, petang nanti akan ada orang yang datang mengambil saya pergi. Saya dah tak boleh duduk sini lagi. Saya tak mahu menyusahkan awak lagi sebab selama ini keluarga awak yang membiayai kos pelajaran saya. Saya nak ucap terima kasih pada awak. Saya terhutang budi dengan keluarga awak.Saya maafkan awak dan saya harap awak dapat memaafkan saya. Saya doakan awak bahagia didunia dan akhirat.
Salam sayang,
Hazirah
(Hazirah Ilyani)
Empangan air mata Fatihah pecah dan tersimbah ke pipinya. Dirangkulnya erat tubuh itu sambil teresak-esak.
“ Maafkan saya, Nini. Maafkan saya. Maafkan saya….” Tangis Fatihah dalam kekesalan.
Melihatkan keadaan tubuh itu yang semakin lesu dan nazak, Fatihah pun mengajarkan ucapan kalimah syahadah. Tersenggut-senggut dia berusaha untuk menyahut kalimah tersebut. Dan akhirnya terus melelapkan mata.
“Sewaktu menaiki tangga asrama, mata saya berpinar. Pandangan jadi kabur. Akhirnya saya pengsan. Saya terasa tubuh saya diangkat. Kemudian saya dengar suara awak. Saya gembira kerana awak sudi bercakap dengan saya. Tapi saya tak mampu membalas. Orang yang dijanjikan untuk mengambil saya telah sampai. Dan akhirnya dia membawa saya pergi. Sebelum itu, saya sempat menitipkan surat buat awak.
Dan ternyata surat itu adalah warkah terakhir saya buat awak…”
Sekalian yang mengerumuni tadi cuba untuk memujuk Fatihah. Beberapa orang daripadanya telah pergi menemui penyelia asrama untuk memberitahu tentang kejadian yang telah berlaku. Akhirnya mayat jenazah di angkat masuk ke dalam ambulans dan terus dibawa ke hospital sebelum dituntut oleh keluarga jenazah untuk dikafankan dan di kebumikan.
No comments:
Post a Comment